7 Ketakutan Perlu Dihadapi Untuk Menjadi Seorang Usahawan Yang Berjaya

Dalam menyelusuri kehidupan seharian, kita akan berhadapan dengan dua natijah iaitu samada berjaya atau gagal. Namun, bagaimana untuk mengukur sesebuah kejayaan yang sebenar?
Anda akan berjaya setelah dapat mengatasi segala cabaran dan kesukaran.Berikut adalah 7 ketakutan yang perlu anda atasi untuk menjadi usahawan berjaya.



1. Takut Dengan Kritikan
Takut dengan kritikan orang lain adalah satu ketakutan yang sia-sia. Masyarakat kita sudah terbiasa dengan budaya seperti ini iaitu terlalu menjaga perasaan orang lain sehingga anda tidak boleh “move on”. Bukankah ia satu alasan yang tidak relevan? Betul, anda perlu ambil dan terima kritikan orang yang berada di sekeliling anda. Tetapi itu tidak bermakna anda akan telan dan ikut sahaja kritikan tersebut. Sebaliknya gunakanlah kritikan itu sebagai ubat untuk anda memperbaiki kesilapan yang telah anda lakukan.
Baru-baru ini, saya menerima surat daripada seorang pelajar kolej yang berbunyi "Ibu bapa saya mahu saya menghabiskan pengajian ijazah sarjana saya, tetapi saya sudah bersedia untuk memulakan perniagaan saya," kata beliau lagi, "Mereka akan fikir saya gila jika saya berhenti sekarang. Apa patut saya buat?"
Itu adalah contoh terdekat apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang. Mereka suka membuat keputusan berdasarkan kritikan orang lain. Namun tidak salah jika anda mengikut kritikan itu seandainya ia membawa kejayaan dalam hidup. Apa yang penting berfikir dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Jangan takut dan segan untuk setiap tindakan yang anda lakukan.

2. Takut Dengan kemiskinan
Takut miskin tidak seharusnya menghalang anda daripada mencapai impian. Dalam pada masa yang sama ia akan melumpuhkan segala perancangan dan matlamat anda. Anggap sahaja kemiskinan itu satu cabaran dalam hidup.
Selain daripada itu, ada juga yang terperangkap dalam "survival mode." Mereka berpuas hati dengan kehidupan mereka yang biasa-biasa sahaja kerana mereka fikir mereka mesti "hidup" dan bukannya untuk "berkembang maju."
Tidak hairanlah masyarakat kita masih lagi mundur dan sering terkebelakang berbanding masyarakat metropolitan yang lain. Ramai yang masih bergantung kepada kerja-kerja yang bergaji rendah kerana mereka takut gagal jika mencuba kerja lain. Cubalah keluar dari zon selesa. Tidak perlu takut jika tersalah langkah kerana kesilapan adalah bukti bahawa seseorang itu telah mencuba membuat sesuatu perkara atau pekerjaan.

3. Takut dengan Usia Tua
Sebahagian individu akan berhenti dalam melakukan pekerjaan dalam umur yang tertentu. Benjamin Franklin pernah berkata “Most people die at 25 and are buried at 75” . mungkin kata-kata itu terlalu metafora untuk kita fahami.
Franklin mengatakan bahawa kebanyakan orang akan meninggalkan urusan mereka dan tidak mahu meneruskan impian dan cita-cita setelah mereka berumur 25 tahun. Golongan ini akhirnya membuat keputusan untuk hidup secara “biasa-biasa” sahaja. Jadi, walaupun fizikal mereka “hidup” namun secara kiasannya mereka sebenarnya sudah “mati”.
Selain daripada itu, Kebimbangan menghadapi usia tua amat berbahaya kepada individu yang melalui peralihan kerjaya. Contohnya seorang yang berumur 46 tahun yang telah lama bekerja dalam bidang insuran tiba-tiba perlu bertukar kerja dalam bidang hartanah.
"Saya berumur 46 tahun. Bagaimana anda mengharapkan saya untuk belajar mengenai hartanah jika saya telah berada dalam bidang insurans sepanjang hidup saya. Jika saya tidak dapat bekerja dengan sempurna,bagaimana saya mahu menyara keluarga?”

4. Takut Dengan kegagalan

Perkataan “kalau” memang juara dalam kalangan orang yang takutkan kegagalan.
"Bagaimana jika ia tidak berfungsi? Bagaimana jika tidak ada yang suka? Bagaimana jika ia gagal?!"
Ini adalah soalan yang salah.Daripada memikirkan tentang semua cara yang mungkin menjerumus anda kepada gagal. Adalah lebih baik anda menumpukan perhatian kepada semua cara dan alternatif ke arah kejayaan.
Walaupun anda gagal, ia memberi peluang untuk memperbetulkan anda. Kegagalan bukan bermakna anda tidak mencapai apa-apa.Ia bermakna anda telah mempelajari sesuatu. Perasaan takut untuk melakukan kesilapan menghalang seseorang daripada mengesan potensi diri. Anda mesti gagal sebelum anda berjaya. Jadi teruskan dan cuba!

5. Takut Menyinggung Perasaan Orang Lain
Ini adalah pendekatan yang salah. Saya amat yakin anda perlu berani dalam tindakan anda jika ingin mencapai impian. Ramai orang takut menyinggung perasaan orang lain dengan mempromosikan diri mereka kerana bimbang orang sekeliling mereka menganggap dia seorang yang sombong.Tiada siapa akan mengenali bakat anda melainkan anda menunjukkan kepada mereka. Tidak perlu terlalu takut dengan apa yang dirasai oleh orang lain. Sebaliknya, utamakan apa yang ingin kita capai.

6. Takut Untuk Nampak Bodoh
Setaip hari kita akan membuka almari dan mencari baju yang sesuai untuk dipakai. Saya pasti dalam banyak-banyak baju yang anda ada, mesti ada yang kamu tidak pernah pakai. Kenapa anda tidak cuba sahaja baju itu? Kita perlu menguji tahap kebolehan kita. Jangan cepat memberi jawapan yang sebenarnya masih tidak ada jawapan. Tidak salah untuk mencuba. Mungkin pada awalnya kita nampak bodoh dan tidak tahu. Tetapi dengan latihan yang selalu kita buat, insyAllah kerja itu jadi lebih mudah.
Biasanya keputusan yang terbaik datang dengan kebetulan. Bukan semua yang kita rancang akan berlaku. Jika apa yang dirancang itu tidak menjadi,anda teruskan sahaja perancangan yang tersedia untuk anda. Boleh jadi itu yang terbaik untuk anda. Ingatlah, kita sebagai manusia hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya. Anda hanya akan kelihatan bodoh jika anda tidak melakukan apa-apa. It’s not about being bright, it’s about just doing it!

7. Takut Untuk Berjaya
Kebanyakan individu takut untuk menjadi diri mereka sendiri. Mereka takut untuk ekspresikan diri. Apabila mereka melihat orang lain dan berkata “Saya pon boleh buat juga!” atau “kenapa bukan saya?”. Pada hakikatnya, golongan seperti ini sebenarnya takut untuk menerima pengiktirafan daripada orang lain kerana mereka tidak mampu untuk tonjolkan diri mereka kepada khalayak ramai. Jadi, jangan persoalkan andai bukan anda yang dipuji dan dihargai.
Kegagalan adalah sebahagian dari kehidupan untuk menuju kejayaan yang lebih hebat. Apa yang perlu kita takut? Kalau kita takut akan gagal, bermakna juga kita akan takut untuk berjaya. Jangan takut dengan kegagalan dan jangan menyalahkan orang lain bila kita gagal. Jangan jadikan suatu kegagalan sebagai penentu nasib.

Comments