Ada
sahabat di dunia ini yang bila kita bersama dengannya, seringkali
mengingatkan kita untuk lebih dekat dengan Tuhan. Mulutnya mungkin tidak
pernah berbunyi pun atau berbicara tentang Allah di depan kita, namun
amal dan akhlaknya menjadi bicara yang paling mengesani hati kita.
Melihat dirinya, membuatkan kita merasa perlu segera bertaubat dan mengubah diri kita.
Bergaul dengan dirinya membuatkan kita terasa perlu lebih membaiki sikap dan akhlak kita.
Ternampak dirinya melakukan kebaikan, sudah menyebabkan kita terdorong untuk ikut sama melakukannya.
Inilah ciri sahabat yang sebenar, yang mampu menjadi cerminan kepada sahabatnya yang lain, walaupun dengan jarang berbicara.
Sebaik-baik Orang Di Kalangan Kamu
“Mahukah aku khabarkan sebaik-baik orang dalam kalangan kamu?” baginda s.a.w. bertanya kepada para sahabat di depannya.
“(Sebaik-baik orang dalam kalangan kamu) adalah yang mengingatkan kamu kepada Allah bila kamu melihatnya.”
“Yang dapat menambah amal kamu bila ia berbicara. Yang mengingatkan kita kepada hari akhirat dengan amal-amalnya.”
Demikian direkod oleh Abi Dunya dalam kitabnya, Al-Awliya’, melalui riwayat Ibn Abbas.
Siapakah Kita Kepada Sahabat Kita?
Seringkali makna persahabatan yang besar itu menjadi kecil kerana kita salah mengisi ruang di dalam persahabatan itu.
Persahabatan atau persaudaraan itu mengandungi nilai dan makna yang besar sehingga Allah mengaitkannya dengan keimanan.
“Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara …” [Al-Hujurat :10]
“Perumpamaan orang mukmin itu dalam berkasih sayang dan saling mencintai …” sabda baginda s.a.w., “
… adalah seperti batang tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya
berasa sakit, maka anggota tubuh yang lain pun akan merasa sakit.”[1]
Sedemikian
besar nilai ukhuwah yang menjadi asas penting dalam kehidupan
bermasyarakat, justeru menyebabkan ia mempunyai kaitan rapat dengan
iman.
Orang yang bagus imannya, sepatutnya bagus juga hubungannya dengan sahabatnya.
Dia
berusaha menjadi sahabat yang baik, memenuhi hak sebagai sahabat,
menjaga aib dan maruah sahabatnya serta selalu pula mahu bersama
berjuang di atas jalan kebenaran. Ketika dia bercakap dengan sahabatnya,
dia berusaha bercakap dengan cara terbaik dan bahasa yang elok agar
tidak menyakiti sahabatnya. Ketika dia bergaul, dia tidak mementingkan
haknya semata-mata, tetapi mengambil berat juga akan keperluan
sahabatnya.
Siapakah kita kepada sahabat kita?
Dan apakah yang kita isi dalam persahabatan kita?
Persahabatan
yang berdiri atas asas keduniaan semata-mata, ia tidak akan kekal dan
bertahan lama. Persahabatan atas dasar universiti, universiti akan
ditinggalkan. Persahabatan atas keseronokan dan gelak tawa semata-mata,
tidak akan membawa kita ke mana-mana. Persahabatan atas harta dan
kedudukan hanya akan melahirkan lebih ramai orang yang mempunyai hasad
dan busuk jiwanya. Hilang harta, maka hilanglah hubungan
persahabatannya.
Sebab
itu, kita perlu sentiasa melihat apakah yang kita isi di dalam
persahabatan kita. Yang kita isi di dalam persahabatan kita itulah yang
menentukan nilai persahabatan itu kecil atau besar.
Comments
Post a Comment